Baitul Hasanah

Dalam menjalani kehidupan ini, tidak semua daripada kita bernasib baik. Ada yang hidup melarat, terpaksa menumpang kasih dan terpisah jauh daripada keluarga. Itu yang dapat digambarkan dengan kehidupan adik-adik di Baitul Hasanah, Kuala Kubu Bharu. 


Apabila berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti khidmat masyarakat, saya sedikit sebanyak agak teruja kerana telah sekian lama menyimpan angan-angan untuk mendekati golongan seperti mereka. Teringin untuk menyelami hati dan perasaan kanak-kanak yang kehidupan mereka tidak seindah kanak-kanak lain di luar sana. Alhamdulillah kedatangan kami disambut baik oleh penghuni rumah. Aktiviti pada waktu pagi adalah senam aerobik dan sukaneka. Begitu bersemangat sekali adik-adik ni menjalankan aktiviti, mungkin ingin meredakan tekanan belajar. Daripada cerita-cerita mereka, masa mereka banyak dihabiskan untuk belajar. 


Berada bersama mereka membuatkan hati tenang seketika daripada dibelenggu masalah-masalah yang sebelum ni membuatkan hati sentiasa resah. Matlamat kami hanya satu, ingin berkongsi sebanyak mungkin ilmu dan juga pengalaman, di samping menggembirakan hati mereka. Hati sayu seketika apabila salah seorang daripada mereka bertanya, "kakak, semua orang dapat ke hamper besar tu, saya nak". Kesiannya, mesti diorang jarang-jarang merasa dapat hadiah macam ni. Sesi petang pulak, kami adakan latihan dalam kumpulan. 


Jujurnya, saya terlalu kagum dengan bakat mereka, seawal darjah 4, ada yang sudah begitu yakin untuk membuat pembentangan , bercakap di hadapan rakan-rakan dan fasilitator tanpa sebarang rasa gementar dan begitu bersahaja. Setiap pertemuan, pasti ada perpisahan, begitu juga dengan kami. Tiba waktu untuk kami pulang, wajah-wajah sugul mula kelihatan, ada yang menitiskan air mata, ada yang hanya memandang dari jauh. Yang pasti, lambaian perpisahan daripada mereka mampu membuatkan diri ini menitiskan air mata. Dalam hati, aku menabur janji, andai ada ruang dan peluang, aku pasti kembali ke sana lagi...







No comments:

Post a Comment